Friday 24 May 2013

~Siapa Aku ?~

Copypaste#


Aku adalah titian kalam yang sunyi, terhimpit di lorong yang malap. Hidupku seperti sebuah buku,punya banyak halaman yang kosong, terkoyak dan berdebu. Di mata dunia tiada mengenali siapa aku, di mata akhirat aku jua tidak mengenali dimanakah aku. Adakah langkahku menepati rahmatNya atau akukah yang sedang berlari ke arah api yang menjulang. Aku tidak tahu dan jarang aku peduli.

Aku sentiasa meronta mencari ruangan damai, ingin tidur dalam buaian kemanisan iman..sedang diri ini sentiasa terasa kotor, apakah selayaknya hatiku patut diletak nur yang suci? Sedang hatiku seperti rumah usang, bagaimana layak aku melayan permaisuri iman. Akulah hamba yang tergelincir, akulah hamba yang dhaif, kesalahan ditanggung aku, akulah penulis ceritaku sendiri. Akulah yang menjahit luka-luka ini setelah aku sendiri melukai nur yang diberi. 

Akulah insan yang sombong itu, sudahpun memiliki nikmat masih lagi merungut kerana secebis kesusahan. Padahal hati kecil sentiasa memberi bisik “Engkau tahu engkau insan teruji” , namunku lebih gemar mendengar nafsu mengambil takhta di hati. Lebih gemar memerhati khayalan dan mimpi.

Akulah pendosa itu, akulah cermin yang memantulkan kemunduran dan kealpaan. Siapalah aku untuk dipungut cintanya, siapalah aku untuk dikasihi..Akulah yang merugikan waktunya, akulah yang merugikan usianya, jika usia mampu berkata-kata sudah tentu ia menghina dan mencercaku kerana amanahnya tidak ku jaga, namun mengapa aku masih terdaya untuk dilekakan? Sedangkan imanku meraung untuk diselamatkan, tapi aku masih mahu memeluk kenikmatan dan melupai hari kebangkitan.

Akhir masa aku bakal meraung kesakitan, saat pemutus nikmat datang menjemput pulang kian tiba. Jeritanku tidak didengari alam, aku kaku menghina diri. Aku tahu ia bakal datang dan tidak pernah penat mengejarku dari depan dan belakang, dari kiri dan kananku. Tapi aku masih tergelincir di ruangan kosong ini.

Akulah yang membiarkan kesempitan hidup sebagai alasan untuk kekal begini. Siapakah yang dapat menyelamatkan aku dari segala kekura
ngan ini? Siapakah aku?


Akulah hamba Allah yang lupa itu. Akulah kisah silammu dahulu, kisahmu kini, dan akulah kamu kemudian hari. Jika kamu tidak berwaspada menjaga imanmu, nescaya aku akan menjadi kisah hidupmu.
Aku adalah kamu.

Berubahlah, NUR HIDAYAH diberi hargailah, jagalah permaisuri iman itu.
Ya Allah jangan pesongkan jiwa ini sesudah diberikan hidayah.

No comments: